CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

20090313

Ketiga-tiganya berkunci

Tanggal 13hb Mac 2009, kira-kira jam 6.55 petang aku sedang menunggu anakku pulang dari kelas 'tuition'nya menyaksikan satu kejadian yang agak menyentuh hati. Aku menunggu anakku sambil membaca akhbar dalam keretaku yang diparkir di hadapan sebuah madrasah yang hebat sama ada dari segi seni binanya mahupun namanya.

Seorang remaja bermotosikal tergesa-gesa memberhentikan motosikalnya, lalu cuba membuka pintu pagar sebelah kanan menuju ke madrasah tersebut. Pintu itu berkunci. Dia terus menghidupkan kembali enjin motosikal dan menuju ke pintu pagar belakang madrasah tersebut. Sedetik kemudian dia telah berada di pintu pagar utama yang terletak di sebelah kiri, juga berkunci. Ketiga-tiga pintu pagar itu berkunci.

Aku mengerti kenapa dia tergesa-gesa kerana waktu Asar telah tiba ke penghujungnya. Wajahnya tergambar kekecewaan. Aku kelu untuk berkata-kata sekadar memerhati dari dalam keretaku.

Dua tahun lalu, aku dan suamiku mengalami situasi yang hampir sama di madrasah itu. Kami singgah untuk solat Zohor, malangnya pintu berkunci. Jadi kami hanya solat di kaki limanya. Kami lebih bernasib baik berbanding remaja tadi.

Beberapa bulan lalu aku, juga sewaktu menunggu anakku, sebuah van jenazah berhenti di situ, aku tidak pasti tujuannya berhenti. Sama ada pemandunya hendak solat atau menyembahyangkan jenazah, yang aku pasti pintu pagarnya juga berkunci.

Sehubungan dengan kejadian ini aku ingin menceritakan kisah sewaktu berkunjung ke Jakarta pada tahun 2007, aku berpeluang bertemu dengan ahli keluarga rakan suamiku semasa dia berkursus di Jepun. Ibu sahabatnya yang juga merupakan balu kepada mantan menteri negara tersebut menyatakan pengalamannya sewaktu melancong ke negara kita, katanya. "Wah, masjid-masjid di Malaysia semuanya cantik-cantik, gede-gede (besar-besar) tetapi enggak ada orang, enggak punya jemaah, lagik dikunci'. "Beda dengan di sinik." Aku dan suami hanya mampu tersenyum malu.

Mungkin inilah salah satu petanda dunia akhir zaman.

0 comments: